Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang pemuda bermata
biru, rambutnya merah, dadanya bidang,
kulitnya kemerah-merahan, dagunya memanjang ke dada kerana selalu
melihat pada tempat sujudnya, tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya,
seorang ahli membaca Al Qur’an dan sering menangis, pakaiannya hanya dua helai
sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya sebagai selendang,
tiada orang yang menghiraukan, beliau tidak dikenali oleh penduduk bumi akan
tetapi sangat terkenal di langit. Dia, jika bersumpah demi Allah pasti
terkabul. Pada hari kiamat nanti ketika semua ahli ibadah dipanggil disuruh
masuk syurga, dia akan dipanggil berhenti dahulu dan disuruh memberi syafa’at,
ternyata Allah memberi izin kepadanya untuk memberi syafa’at sejumlah qobilah
Robi’ah dan qobilah Mudhor, semua dimasukkan syurga tiada yang ketinggalan
kerana kesolehannya.
Dia adalah “Uwais al-Qarni”. Dia tidak dikenali
masyarakatnya apatah lagi dengan kemiskininan yang dimilikinya, ramai yang suka
mentertawakan, mengejek-ejek, dan menuduhnya sebagai tukang mengadu domba,
pencuri serta berbagai macam umpatan dan penghinaan lainnya. Seorang fuqoha’ di
negeri Kuffah, kerana ingin duduk dekat dengannya, telah memberikan hadiah dua
helai pakaian kepada Uwais al-Qarni, pemberian hadiah tersebut disambut, namun
dikembalikan olehnya seraya berkata:
“Aku khuatir, nanti ada orang yang menuduh aku, dari mana
kamu dapatkan pakaian itu, pasti dari mencuri”.
Pemuda dari Yaman ini telah lama menjadi yatim, tidak punya
sanak saudara kecuali hanya ibunya yang telah tua dan lumpuh. Hanya penglihatan
kabur yang masih tersisa. Untuk mencukupi kehidupannya sehari-hari, Uwais
bekerja sebagai penggembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup untuk
sekadar menampung kehidupan sehariannya bersama Si ibu, apabila ada kelebihan,
dia pergunakan untuk membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba
kekurangan seperti keadaannya. Kesibukannya sebagai penggembala dan merawat
ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya, dia tetap
melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam pada masa negeri Yaman
mendengar seruan Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang telah mengetuk
pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tak ada
sekutu bagi-Nya serta Wujud ALLAH SWT Tanpa Tempat. Islam mendidik setiap umat
agar berakhlak mulia. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalam Islam sangat
menarik hati Uwais, sehingga setelah seruan Islam datang di negeri Yaman, dia
segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya
kebenaran. Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk
mendengarkan ajaran Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam secara langsung.
Sekembalinya beliau ke Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan
cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais setiap kali melihat tetangganya
yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah “bertamu dan bertemu” dengan
kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum termampu berbuat
begitu.
Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang
kuat untuk bertemu dengan sang kekasih, tapi apalah daya ia tak punya bekal
yang cukup untuk ke Madinah, dan yang lebih ia beratkan adalah sang ibu yang
jika ia pergi, tak ada yang merawatnya.
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud, Rasulullah
Shollallahu Alaihi Wasalam ditimpa kecederaan dan gigi baginda yang dikasihi
patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuh baginda. Khabar ini akhirnya
sampai kepada Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut
dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada baginda Nabi Muhammad Shollallahu
Alaihi Wassalam, walaupun beliau belum pernah melihatnya. ALLAHU ALLAH, lalu
bagaimana pula dengan kita pada hari ini, yang masih curiga dengan keberadaan
Sayyiddinna Muhammad Rasulillah. Sehingga ada yang membid’ahkan amalan Maulidur
Rasul atau memusnahkan segala peninggalan sirah baginda.
Firman ALLAH Subhanahu Wa Taala;
“Dan (juga diutus untuk kaum) yang lain dari mereka, belum
pernah berhubungan dengan mereka. Dan DIA(ALLAH Subhanahu Wa Taala) Maha Kuasa
lagi Maha Bijaksana”
[Al-Jumaah:3]
Hari berganti hari dan musim-musim suka dan gembira terus
berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung terhadap Sayyiddina Muhammad
Rasulillah membuatkan hasrat hati Uwais al-Qarni untuk bertemu baginda
Shollallahu Alaihi Wassalam tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri
dan bertanya ke dalam hati, bilakah dia dapat menziarahi Nabinya dan memandang
wajah baginda dari dekat? Tetapi, bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan
penjagaannya dan tidak boleh ditingalkan sendirian, hatinya selalu gelisah
siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah Shollallahu Alaihi
Wassalam. Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi
hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi
menziarahi Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam di Madinah. Ibu Uwais,
walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Si ibu
amat memahami perasaan Uwais, lalu berkata:
“Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila
telah berjumpa baginda, segeralah engkau kembali pulang.”
Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat dan tidak
lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan
kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama beliau bermusafir menemui
kekasihnya dan kekasih ALLAH Subhanahu Wa Taala.
Sesudah bersalaman sambil mengucup dahi ibu yang
dikasihinya, berangkatlah Uwais menuju ke Madinah dengan jaraknya lebih kurang
empat ratus kilometer dari Yaman. Beliau melalui perjalanan yang begitu
mencabar, Uwais tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun
pasir luas yang dapat menyesatkan serta begitu panas di siang hari, dingin
malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya
susuk baginda Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam yang selama ini
dirindukannya.
Apabila Uwais al-Qarni tiba di kota Madinah. Beliau segera
menuju ke rumah Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam, diketuknya pintu
rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah Sayyidatina ‘Aisyah r.a., sambil
menjawab salam Uwais. Segera, Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya.
Namun ternyata baginda Shollallahu Alaihi Wassalam tidak berada di rumah
melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh
beliau datang untuk menemui insan yang dirinduinya tetapi baginda Shollallahu
Alaihi Wassalam tiada di rumah.
Did alam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kepulangan
Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam daripada medan perang. Tetapi, bila
pula baginda akan pulang? Sedangkan, masih terngiang di telinga pesan ibunya
yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar dia cepat pulang ke Yaman, “Engkau
harus lekas pulang”.
Kerana ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah
mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi
Muhammad Shollallah Alaihi Wassalam. Uwais akhirnya dengan berat hati memohon
izin kepada Sayyidatina ‘Aisyah r.a. untuk segera pulang ke negerinya. Dia
hanya menitipkan salamnya untuk Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam dan melangkah
pulang dengan perasaan haru.
Ketika pulang dari perang, Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi
Wassalam langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi
Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah
anak yang taat kepada ibunya. Dia adalah penghuni langit (sangat terkenal di
langit). Mendengar perkataan baginda Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam, Sayyidatina
‘Aisyah r.a. dan para sahabatnya terpegun. Menurut Sayyidatina ‘Aisyah r.a.,
memang benar ada yang mencari Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dan
orang itu segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua serta uzur
sehingga dia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah SAW bersabda:
“Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni),
perhatikanlah, dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.”
Sesudah itu Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam, memandang
kepada Sayyidina Ali k.w. dan Sayyidina Umar r.a. dan bersabda:
“Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah
do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.
Tahun terus berganti, dan tidak lama kemudian Nabi Muhammad
Shollallahu Alaihi Wassalam wafat, hingga kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar
ash-Shiddiq r.a. telah digantikan dengan Khalifah Umar r.a. Suatu ketika,
khalifah Umar teringat akan sabda Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam
tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada
Sayyidina Ali k.w. untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap kali ada kafilah yang datang dari Yaman,
beliau berdua selalu menanyakan tentang Uwais al-Qorni, apakah ia turut bersama
mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya
yang terjadi sehingga Uwais al-Qorni dicari oleh kedua-dua sahabat rafik Nabi
Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam ini. Rombongan kafilah dari Yaman menuju
Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais al-Qorni turut bersama rombongan kafilah
menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman,
segera Khalifah Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w. mendatangi mereka dan
menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka. Rombongan itu mengatakan bahawa
dia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota.
Mendengar jawaban itu, mereka berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qorni.
Tiba di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar r.a. dan
Sayyidina Ali k.w. memberi salam. Namun, Uwais sedang melaksanakan solat.
Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut
sambil bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan
tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada ditelapak
tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi Muhammad
Shollallahu Alaihi Wassalam. Memang benar! Dia penghuni langit.
Dan ditanya Uwais oleh Sayyidina Umar r.a dan Sayyidina Ali
k.w,
"Siapakah nama saudara?”
“Abdullah”, jawab Uwais.
Mendengar jawaban itu, kedua sahabat Rasulullah turut
tertawa dan mengatakan :
“Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu
yang sebenarnya?”
Uwais kemudian berkata:
“Nama saya Uwais al-Qorni”.
Dalam bualan mereka, diketahuilah bahawa ibu Uwais telah
meninggal dunia. Itulah sebabnya, dia baru dapat bersama rombongan kafilah
dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali k.w. memohon agar Uwais
berkenan mendo’akan untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada Khalifah:
“Sayalah yang harus meminta do’a kepada kalian”.
“Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah
kami!”
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata:
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata:
“Kami datang ke sini untuk mohon do’a dan istighfar dari
anda”.
Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qorni akhirnya
mengangkat kedua tangannya, berdo’a dan membacakan istighfar. Setelah itu,
Khalifah Umar r.a. berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal
kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera Uwais menolak dengan santun serta
berkata :
“Hamba mohon supaya hari ini sahaja hamba diketahui orang.
Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang
lagi.”
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam serta
tidak kedengaran beritanya. Tetapi ada seorang lelaki pernah bertemu dan
dibantu oleh Uwais, waktu itu kami sedang berada di atas kapal menuju tanah
Arab bersama para pedagang, tanpa disangka-sangka angin taufan bertiup dengan
kencang.
Akibatnya, hempasan ombak telah memukul kapal kami sehingga
air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat
itu, kami melihat seorang lelaki yang mengenakan selimut berbulu di hadapan
kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya. Lelaki itu keluar dari kapal
dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
“Wahai waliyullah, Tolonglah kami!”
Tetapi lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
“Apa yang terjadi?”
“Tidakkah engkau melihat bahawa kapal ini ditiup angin dan
dipukul ombak dahsyat?” tanya kami.
“Dekatkanlah diri kalian pada Allah!” katanya.
“Kami telah melakukannya.”
“Keluarlah kalian dari kapal dengan membaca
Bismillahirrahmaanirrahiim!”
Kami pun keluar dari kapal satu persatu dan berkumpul. Pada
saat itu jumlah kami lima ratus orang lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak
tenggelam, sedangkan kapal kami berserta isinya tenggelam ke dasar laut. Lalu
orang itu berkata pada kami,
“Tidak mengapa harta kalian menjadi korban asalkan kalian
semua selamat.”
“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?” Tanya
kami.
“Uwais al-Qorni”. Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
“Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik
orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”
“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan
membahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” tanyanya.
“Ya,”jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air,
lalu berdo’a. Setelah Uwais al-Qorni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul
ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan.
Setibanya di Madinah, kami membahagikan seluruh harta kepada
orang-orang fakir di Madinah, tidak satupun yang tertinggal. Beberapa waktu
kemudian, tersiar khabar kalau bahawa Uwais al-Qorni telah kembali ke
rahmatullah.
Anehnya, pada ketika jenazah Uwais al-Qorni akan dimandikan
tiba-tiba ramai orang yang berebut-rebut untuk memandikannya. Dan ketika
jenazah Uwais dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafankan, di sana sudah ada
orang-orang yang menunggu untuk mengkafankanya. Demikian pula ketika orang
hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali
kuburnya hingga selesai. Ketika usungan jenazah dibawa menuju ke tanah
perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Dan Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
“Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang
dari menghantarkan jenazahnya, lalu aku berniat untuk kembali ke tempat
kuburnya untuk memberi tanda [batu nisan] pada kuburnya, akan tetapi sudah
tidak terlihat bekas kuburannya.”
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut
berperang bersama Uwais al-Qorni pada masa pemerintahan Sayyidina Umar r.a.)
Berita kematian Uwais al-Qorni telah menggemparkan
masyarakat kota Yaman. Banyak perkara-perkara yang menghairankan telah berlaku.
Kehadiran ramai orang yang tidak dikenali untuk menguruskan jenazah dan
pengembumiannya, sedangkan Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan
orang. Sejak dia dimandikan sehingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam
kubur, di situ pasti ada orang-orang yang telah bersdia melaksanakannya terlebih
dahulu.
Penduduk kota Yaman tercengang. Mereka saling
terrtanya-tanya:
“Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qorni? Bukankah
Uwais yang kita kenali, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa harta,
yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala kambing dan unta? Tetapi, ketika
hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya
manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah
yang ramai. Apakah mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya
untuk menguruskan jenazah dan pengembumiannya.”
Ketika itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapakah “Uwais
al-Qorni”, ternyata dia tidak terkenal di bumi tetapi menjadi terkenal di
langit.