Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “di mana Allah dalam
hati kita,” agar kita dibayangi kasih sayang Allah dengan apa yang kita
lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada duniawi
lebih daripada mengingati Allah.
Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab,
di mana ia boleh membantu meningkatkan iman,hubungan serta keupayaan untuk maju
dalam pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Persoalan
seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut
diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam
sanubari kita?
Sehubungan ini, Sayyidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan
kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut:
sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka
lihat selainNya adalah kecil belaka.
Coba perhatikan serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang
penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.
Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam
bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau
perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi
derhaka kepadaNya.
Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon
sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua
yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah
yang kekal tanpa kesudahan.
Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana
hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep
cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya?
Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita
meletakkan cinta hanya kepadaNya?
Perhatikan firman Allah kepada nabi Daud : “Wahai Daud!
Sesungguhnya engkau menghendaki sesuatu daripadaKu, Aku pun menghendaki sesuatu
daripadamu. Jika engkau benar-benar taat kepadaKu pada apa yang Aku mahu, maka Aku
akan permudahkan apa yang engkau mahu. Jika engkau menentangKu pada apa yang
Aku mahu, maka Aku akan menyusahkan engkau, maka berusahalah pada apa yang Aku
mahu."
Dalam suasana yang lain pula, Allah ada menyatakan dalam sebuah
hadis Qudsi yang bermaksud: “jika mana-mana hambaKu mentaatiKu, maka Aku redha
(rela) kepadanya, bila Aku redha kepadanya maka akan Aku berkati seluruh
hidupnya, sesungguhnya keberkatan Aku tidak ada penghujungnya, dan jika hambaKu
melakukan maksiat kepadaKu, Aku marah kepadanya, bila Aku marah kepadanya
maknanya Aku melaknatnya."
Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam
apa juga jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada
hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga
tiada ruang Allah di dalam hatinya.
Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha
Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan
korban tanpa berbelah bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang
menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.
Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak
bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke
Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid
al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka. Hidup dan mati
mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah
akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.
Waktu sesuai untuk mendampingi Allah
Sekali lagi kita tanya diri sendiri “Di mana Allah dalam hati
kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau
sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?
Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang
dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat kepadaNya?
Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh
mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat,
ingatlah ketika Allah menyebut : “Aku bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu
dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana Aku”
Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam (bertahajjud) untuk
menyepi diri dan berkhalwat (bersunyi-sunyi) bersama Allah? Tidakkah kita
teringat akan janji-janji Allah kepada kita yang mampu bangun di tengah
malam-Allah menyebut: “adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam
untuk bertaubat, di mana Aku menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka
Aku ampunkan segala dosa-dosanya dan memohon sesuatu maka Aku berikan
kepadanya”
"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu
nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang
sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka
Jahannam dalam keadaan hina." (Al-Mu'min:60)
Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati kita ini
penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar
agamaNya walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.
Berapa banyak ruang yang ada pada kita untuk memerhatikan segala
nikmat yang dianugerahkan Allah ke atas kita, terus bersyukur kepadaNya tanpa
sebarang perasaan prejudis. Pernah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana
Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan,
kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami kepada
kita. Atau kita hanya sekadar menerima nikmat tanpa sebarang balasan untuk
beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.
“Jikalau kamu hendak menghitung akan nikmat-nikmat Ku maka kamu
tidak akan dapat menghitungnya.” (An Nahl: 18)
“Dan di antara tanda kekuasaannya ialah menjadikan untuk kamu dari
diri kamu sendiri pasangan-pasangan untuk kamu menenangkan diri kamu kepadanya,
dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih-sayang dan kasihan belas” (Ar-Rum
: 21)
"Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat
padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha).
Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia
seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."
(Al-Mu'min:61)
"Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan
nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak
berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Ia tidak
redakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Ia meredainya
menjadi sifat dan amalan kamu. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan
memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian
kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan
segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada." (Az-Zumar:7)
Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara saudari seagama! Dunia dan
bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada
apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, perniagaan,
pangkat dan jawatan, tapi apa yang penting, di mana Allah dalam hati kita? Mana
letaknya cinta kita kepada Allah?
Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri
di mana Allah dalam hati kita? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang
patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah
(mati) sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya?
Apabila kita ingat Allah pada waktu susah, pasti Allah akan ingat
kita pada waktu kita senang dan lapang.
Demikianlah peringatan yang perlu kita sama-sama ingatkan antara
satu sama lain, agar Allah ada dalam hati kita sama ada pada perkara sekecil-kecilnya
atau yang sebesar-besarnya, Tanya diri – di mana Allah dalam hati kita?
"(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang
mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka
mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah;
sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan
kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika
mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan
kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha
berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Al-
Baqarah:165)
Ingatlah siapa yang bersama Allah, nescaya dia dipelihara Allah.
Siapa yang mencintai Allah, nescaya dia tiada memandang selain dari Allah.
Siapa yang sampai kepada Allah, nescaya dia hidup dalam lindungan Allah. Siapa
yang rindu kepada Allah, nescaya dia akan bermesra dengan Allah. Siapa yang
membelakangi semua yang memikat hati selain Allah, nescaya bersihlah duduknya
dengan Allah. Ketuklah pintu Allah, lindungilah dirimu di dalam benteng Allah,
berserah diri hanya bagi Allah, wahai orang yang melupai Allah, kembalilah
kepada Allah......... dan seterusnya, moga-moga Allah memanfaatkan kita dengan
apa yang diucapkan itu.
Rasulullah s.a.w sering berdoa:
"Ya Allah, aku berlindung dengan keredhaanMu daripada
kemurkaanMu, dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, dan aku berlindung denganMu
daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu sendiri."
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Allah
Taala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan
seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang.” (Muslim)
Hitunglah dirimu sebelum diri kamu dihitung dengan terperinci di
Mahkamah Allah Yang Maha Adil kelak........